MENU SEDAP AIR TANGAN BONDA
Assalamualaikum.
Dulu kan masa kecil... Kita selalu makan masakan ibu, tak kiralah semasa sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Sampai kadang-kadang kita rasa nak sangat beli makanan kat gerai-gerai tepi jalan, nak sangat makan makanan kat luar sebab nak juga tukar selera. Masa tu rasa muak ke kita dengan masakan ibu? Kita rasa bosan ke sebab makan masakan yang sama setiap hari?
Sampai kita sanggup nak beli makanan dari luar... nak pergi makan kat luar lebih-lebih lagi bila dah pandai berkawan dan ramai member pakat-pakat ajak join mapley! Restoran sana masak terbaik! Sini pulak ala-ala hipster! Jom pekena western food!
Masakan ibu dari dulu sampai sekarang macam tu juga.
Sampailah kita dewasa, masa tu tak kahwin lagi... Masakan ibu masih juga sama. Kita pulak dah kerja, dah ada duit sendiri dalam poket banyak. Pergi kerja sikit pun kita tak jamah masakan ibu, ' Alah bu... tak sempatlah, orang nak cepat ni!' sedangkan sampai aje ofis kita ajak member sebelah turun minum kat kafe. Makan tengahari sudah semestinya di ofis juga. Bila lewat petang menjelma sedang kita masih buat kerja ofis... Kita ambil keputusan makan malam di kafe berhampiran ofis juga.
Alasannya, kerja ofis setiap hari banyak. Balik pun lambat, nak sampai rumah dah tengah malam. Mana sempat nak makan kat rumah. Lagipun... Bila-bila pun boleh makan kat rumah, ibu tetap masak hari-hari!
Tiba masanya, kita pun dah kahwin. Kita ada suami/isteri sendiri. Samada kita sendiri masak... atau isteri kita masak... Kita kena makan, kalau tak nanti membazir dan kecil hati orang yang masak tu walau tidak sesedap mana.
Kita dah ada anak, kita mula masak pula untuk anak dan mereka terus membesar di hadapan mata kita. Mereka makan dengan berselera masakan kita. Kalau selera anak berubah tiba-tiba, mereka tak mahu makan masakan kita... mereka sakit mereka tolak masakan kita... terasa juga hati kita sedang anak-anak ni masih kecil lagi.
Masa tu... Kita pun teringat masakan ibu kita selama ni. Sudah lama rasanya tak rasa masakan ibu. Kita rasa rindu dengan menu sedap ibu!!
Ibu selalu masak pelbagai jenis lauk pauk dan kuih-muih asalkan kita makan menu yang dia sediakan.
Tapi kita dah besar, kita ada kawan, kita ada kekasih... Kita nak makan dengan mereka! Kita tak nak lagi makan dengan ibu!
Walaupun dulu kita rasa bosan dengan masakan ibu. Tapi hari ini, kalau boleh hari-hari kita nak makan masakan ibu. Bila kita sendiri jadi ibu atau ayah... Barulah kita tahu menghargai masakan ibu sendiri. Betapa sedapnya lauk hasil air tangan ibu walaupun cuma telur dadar goreng yang ibu masak untuk kita!
Kalau boleh sekarang ni kita rasa macam nak duduk dengan ibu sebab nak rasa masakan ibu yang sedap sangat tu! Lebih-lebih lagi kalau kita rasa tak berapa sihat ... Bila ibu masakkan untuk kita, terus kita cepat sembuh!
Begitu ajaibnya tangan ibu! Air tangannya begitu berharga... Begitu mulia hingga sakit kita boleh sembuh sebaik ibu menyuap kita makan... mengusap tangannya pada dahi dan juga rambut kita. Sejuk tangan ibu yang baru selesai wudhuk buat kita rasa selamat disisinya bila kita salam.
Bila balik kampung jumpa ibu dengan keluarga sendiri, ibu dah sedia macam-macam bekal untuk kita bawak balik.
Lauk pauk pula ibu dah sedia awal-awal bila tahu kita sekeluarga nak balik rumah. Kalau musim buah-buahan, ibu dah siap kaitkan buahnya untuk kita... ibu dah siap simpankan untuk setiap anak-anaknya. Supaya nanti senang bila anak, menantu dan cucu balik kampung semuanya dah tersedia untuk dimakan.
Bila kita sampai rumah kita sendiri, cepatnya kita dah rasa rindu pada ibu... Kita panaskan gulai ibu bagi, isteri kita panaskan lauk pauk ibu bekalkan tadi, kita sekeluarga pun makan masakan ibu... kita rasa seperti tinggal di rumah ibu semula.
Rasa-rasanya nanti macam ni jugalah anak-anak kita kan? Bila kita dah tua... Bila mereka semua dah ada keluarga sendiri... Mereka pasti akan rindu air tangan bonda mereka nanti!
Tanggungjawab kita...
Muliakanlah seorang ibu walaupun dengan merasai masakan air tangan mereka membuatkan mereka gembira dan redha dengan kita.
Sekian.
Ulasan