KISAH HIDUP RAZIA SULTAN


Assalamualaikum.

Minggu ini adalah minggu akhir bagi drama bersiri Razia Sultan yang ditayangkan di TV3.



Saya nak cerita serba sedikit info lebih lanjut tentang sejarah kesultanan Razia yang diadaptasi dalam drama bersiri Razia Sultan ini. Sebab ramai yang tertanya-tanya, siapakah Razia Sultan? Benarkah wujud kisah hidupnya? Atau bagaimanakah kehidupan Razia hingga mampu bergelar Sultan?

Razia atau gelaran penuhnya Jalalatuddin Raziyya asalnya adalah seorang puteri kesultanan Delhi, baginda adalah seorang wanita berketurunan Turki dan Delhi yang begitu luar biasa kehebatannya. Baginda dilantik sebagai Sultan wanita pertama dan terakhir kesultanan Delhi oleh ayahandanya melalui persetujuan ahli warisnya dan sokongan rakyat jelata. 

Didikan yang diberikan sendiri oleh ayahandanya, Shamsuddin Iltumish sejak kecil hingga usianya 13 tahun menjadikannya seorang puteri yang bijaksana, berani dan pemurah. Razia tidak seperti kebanyakan puteri pada ketika itu, kerana masanya banyak dihabiskan dalam mempelajari dan melaksanakan hal-hal pentadbiran negara sekiranya diminta oleh ayahandanya.

Razia mempunyai seorang saudara berlainan ibu, bernama Ruknuddin Firuz dari wanita bernama Shah Turkan. Baginda juga memiliki saudara kandung lain bernama Muizuddin Bahram dari wanita bernama Nadira Begum yang telah bercerai dengan ayahandanya sebelum dimahkotakan sebagai pemegang takhta Delhi. Razia pula adalah anak daripada ibunya Qutub Begum iaitu permaisuri Sultan Iltumish, dia adalah anak kepada pemerintah kesultanan Delhi ketika itu iaitu Qutbuddin Aibak yang dikahwini oleh Shamsudin Iltumish setelah bercerai dengan Nadira Begum.

Selepas kematian Qutbuddin Aibak, naik pewarisnya Aram Baksh namun pemerintahan dibawahnya kucar-kacir serta tidak berjalan dengan lancar dan melalui persetujuan golongan Amir Turki, Iltumish yang berada dalam golongan bangsawan Turki ini telah dilantik menaiki takhta bagi menggantikan pemerintahan Qutbuddin Aibak yang telah mangkat.

Iltumish adalah seorang yang cekap, berani dan berfikiran liberal. Pendapatnya terhadap kebolehan setiap kanak-kanak sejak kecil dalam seni mempertahankan diri dan pendidikan mereka adalah lebih suka mengejar keseronokan, berbanding puterinya Razia yang cekap mempertahankan diri dan bijak belajar. Baginda melihat dalam diri Razia dan kakanda-kakandanya yang lain, ternyata walaupun Razia adalah kanak-kanak perempuan, kebolehan yang ditonjolkan adalah berbeza daripada dua lagi kakandanya.

Jelas dalam fikiran Sultan Iltumish untuk menjadikan Razia sebagai wanita pertama yang layak untuk meneruskan takhta kesultanan Delhi. Sultan Iltumish kemudiannya telah menamakan Razia sebagai calon pewaris takhta selepas kematiannya kelak.

Oleh itu, walaupun Ruknuddin Firuz adalah kakanda  kepada Razia, namun tidak layak untuk memerintah kesultanan Delhi memandangkan tiada sifat kepimpinan dalam dirinya. Muizuddin pula dilihat sebagai kakanda Razia yang tidak pernah terdidik dalam hal-hal berkaitan pentadbiran negara. Maka, Sultan Iltumish lebih mempercayai kebolehan Razia dalam soal pemerintahan yang adil dan saksama.

Pada 30 April 1236, Shamsuddin Iltumish telah disahkan mangkat. Asalnya, Razia perlu menaiki takhta mengikut persetujuan ahli warisnya tetapi telah mendapat tentangan dari golongan bangsawan Muslim dan Ruknuddin Firuz telah menaiki takhta. Dalam tempoh pemerintahannya, Ruknuddin adalah seorang pemerintah yang zalim dan tidak tahu langsung memerintah.

Baginda cuma memerintah semata-mata mahu memuaskan nafsunya dan nafsu ibunya, Shah Turkan yang tamak haloba. Pemerintahannya cuma bertahan selama 6 bulan sebelum Razia berjuang dalam meraih sokongan rakyat jelata untuk mengambilalih pemerintahan kuku besi dari Ruknuddin Firuz pada 9 November 1236. Akhirnya, Ruknuddin Firuz dan ibunya, Shah Turkan telah dihukum mati.

Kemudian, pada 10 November 1236 Razia mula mengambilalih pemerintahan kesultanan Delhi. Baginda dikreditkan sebagai pemerintah yang sangat adil, menitikberatkan pendidikan dan murah hati. Namun, sayangnya pemerintahan baginda tidak bertahan lama akibat menjadi mangsa konspirasi perebutan kuasa pihak yang cemburu dengannya.

Sultan Razia cepat membina kekuasaannya dengan memerintahkan wang syiling yang digunakan pada ketika itu dicetak namanya sebagai 'Sultan Razia anak perempuan Shamsuddin Iltumish'. Kemudian, baginda banyak mendirikan pusat-pusat pendidikan bagi seluruh rakyat jelata yang beragama Islam dan Hindu.

Sebagai Sultan, baginda tidak lepas dengan fitnah dan sifat cemburu orang di sekelilingnya. Razia dikatakan begitu pilih kasih terhadap seorang hamba berketurunan Habsyi/Abbissiniyan yang bernama Jamaluddin Yaqut. Ada beberapa pihak mengatakan mereka berdua juga saling bercinta.

Oleh kerana berlaku ketidakpuasan hati, Malik Altunia dari wilayah Bhatinda telah menawan Delhi dan berlaku peperangan antara Razia dan Malik sehingga Yaqut terkorban dalam peperangan antara mereka. Razia pula mengalami kekalahan dan berlaku penangkapan terhadap Razia oleh Malik Altunia. Razia dijadikan sebagai banduan dan dipenjarakan di Qila Mubarak, Bhatinda oleh Malik Altunia.

Hakikatnya, Razia dan Malik Altunia adalah teman sepermainan dan mereka saling mencintai dalam jangkamasa yang sangat lama. Kerana rasa tidak puas hati terhadap layanan berlebi-lebihan Razia terhadap Yaqut, memaksa Malik Altunia menyerang Delhi. Walaupun Razia adalah tahanan di Bhatinda, namun baginda dilayan sangat baik oleh Malik Altunia hingga mereka mengikat tali pertunangan. Bagi menyelamatkan diri, Razia yang bijaksana mengambil keputusan untuk berkahwin juga akhirnya denganMalik Altunia atau gelarannya Malik Ikhtiyarudin Altunia, iaitu Gabenor Bhatinda tersebut.

Tidak beberapa lama kemudian baginda Sultan Razia berarak ke arah Delhi dengan suaminya untuk mengambilalih semula takhta kesultanan Delhi. Pada 13 Oktober 1240, baginda bertempur dengan pasukan tentera Delhi yang didalangi oleh kakandanya, Muizuddin Bahram yang juga cuba merebut takhta kesultanan Delhi daripada Razia, namun  pasangan suami isteri tersebut telah terbunuh atas kejadian tersebut.

Pasangan tersebut dimakamkan bersama di sekitar wilayah India yang bersempadanan dengan wilayah Turki. Sultan Razia dikatakan mangkat ketika umurnya masih muda iaitu 35 tahun. Pasangan Sultan Razia dan Malik Altunia dikatakan cuma dianugerahkan seorang putera angkat sahaja.

Walaupun begitu, kisah Razia Sultan benar-benar diangkat menjadi sebutan dalam sejarah kesultanan Delhi sebagai satu-satunya, seorang wanita Islam yang bergelar Sultan, yang telah berjaya memerintah kesultanan Delhi buat pertama kali dan yang terakhir!

Sekian.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN BERSALIN KALI PERTAMA DI HOSPITAL AMPANG SELANGOR

SEBAB BAYI GIGIT PUTING PAYUDARA

BABY CHECKLIST UNTUK BAKAL IBU