RELEVAN AMALAN BERPANTANG DALAM MASYARAKAT MALAYSIA


Assalamualaikum.



Wah, seronoknya bila dah dapat anak… anak kecil baru lahir ni ibarat wangian dari syurga yang menenangkan ibunya kan! Apapun, teruja dapat anak tapi diri si ibu perlulah dijaga rapi agar sentiasa sihat dan bertenaga untuk menguruskan si kecil nanti.


Saya sebenarnya tak mahu bangkitkan isu cara berpantang sebab ramai antara kita ada cara masing-masing. Namun, saya perlu sentuh tentang relevannya soal berpantang ini kerana ia menjaga kesihatan seorang wanita yang mempunyai tanggungjawab besar sebagai seorang ibu dan isteri. Zaman sekarang ni, ada pihak yang sangat menitikberatkan soal berpantang selepas bersalin manakala ada sesetengah pihak lagi rasa berpantang ni perkara remeh!

Walau apapun pandangan dan pendirian beberapa pihak terhadap soal berpantang untuk wanita selepas bersalin, anda disarankan berbalik pada hukum feqah wanita. Berpantang buat wanita selepas bersalin pada saya adalah relevan dan wajar!

Teringat saya tentang bos lama saya yang umurnya telah mencecah lebih 40an tahun, baru menimang cahaya mata. Dia kata, tak perlulah isterinya berpantang dekat 40 hari atau 44 hari tu … cukuplah sekadar sebulan saja. Lagipun isterinya bersalin normal, asalkan dia dah cukup sihat, sudahlah! Tak perlulah nak ikut sangat hari berpantang adat orang melayu kita! Pendapat bos saya ini sememangnya sukar untuk diterima.

Seharusnya, sikap seorang suami itu perlulah rasional dan bertimbang rasa dengan memberi peluang kepada isteri untuk menjaga kesihatannya dan mengembalikan tenaga setelah berbulan-bulan membawa perut serta meneran untuk melahirkan anaknya. Malah, si suami juga perlu memberi ruang agar si isteri dapat menyesuaikan diri selepas mempunyai bayi kecil untuk dijaga dan disusui sepanjang siang dan malam sehingga kekurangan tidur dan rehat.

Luka bersalin normal dan caeserean

Pada saya adalah sangat penting bagi ibu lepas bersalin berpantang sekurang-kurangnya 40 hari untuk memulihkan semula tenaga dan kesihatan dalaman. Apabila seseorang ibu itu telah bersalin, banyak tenaga yang hilang, yang saya maksudkan ialah tenaga semasa membawa perut selama 9 bulan 10 hari dan tenaga semasa meneran keluar bayi. Selain tenaga, ibu bersalin mengalami kehilangan banyak darah yang keluar dalam proses melahirkan bayi dan luka episiotomy samada luka kecil atau besar.

Melalui pengalaman saya sendiri, luka episiotomy melahirkan anak pertama lebih besar guntingannya disamping kesilapan semasa meneran mengakibatkan luka semakin besar dan panjang. Maka, jahitan yang dikenakan lebih banyak dan panjang! Berbanding anak yang kedua kerana telah ada jahitan sebelum ini, semasa melahirkan anak kedua luka episiotomy saya amat sedikit dan senang kering hanya dalam masa 2 minggu sahaja.

Bagi yang bersalin secara caesarean lebih baik dipanjangkan kepada 100 hari kerana mengalami luka jahitan yang begitu dalam kerana proses penyembuhannya memakan masa yang lebih lama. Anda bayangkan perut yang terpaksa dibelah sebanyak 7 lapisan untuk mengeluarkan seorang atau lebih bayi? Bagaimana kesakitan dan pengorbanan yang perlu dilaluinya tidak setanding dengan berpantang 100 hari yang diberikan.

Bersalin cara caesarean ini luka pembedahannya sangat sukar untuk dijaga, walaupun pada luka luarannya telah sembuh sepenuhnya, namun luka dalaman masih memerlukan masa lebih lama untuk sembuh. Menurut kata rakan yang telah lebih 5 tahun melahirkan anak secara caesarean, setiap kali hendak bersin, batuk atau menggapai barang yang tinggi pun dia perlu berhati-hati kerana kesakitan dalamannya masih terasa-rasa. Jika berada dalam situasi hujan lebat berserta kilat dan petir pun dia terasa-rasa sengal pada luka jahitan caesarean tersebut.

Pemakanan semasa berpantang





Selain perlu menjaga diri, kesihatan dan kebersihan diri, ibu lepas bersalin juga perlu menjaga pemakanan mereka. Makanan bergoreng dan berminyak perlu dielakkan kerana boleh mengganggu penyembuhan luka episiotomy dan luka pembedahan caesarean. Cara masakan paling bagus adalah bakar, rebus dan kukus kerana ia tidak menggunakan minyak dan menerbitkan rasa semulajadi makanan tersebut.

Antara sayur-sayuran yang boleh dimakan adalah sayur sawi, lobak, lobak putih, sayur bendi dan petola. Sayur-sayuran lain dan ulaman perlu dielakkan kerana ia bersifat sejuk dan boleh menyebabkan bentan. Bagi buah-buahan pula, elakkan makan buah-buahan tempatan. Sebaiknya, anda boleh cuba buah oren dan epal dalam kuantiti sedikit jika terasa ingin makan buah.

Ikan juga ada yang bersifat gatal, maka berhati-hatilah ketika memilih hidangan ikan. Ikan yang elok dimakan adalah cencaru, salmon, selar dan haruan. Ayam hanya boleh dimakan selepas 2 minggu bagi ibu bersalin normal. Jika tidak yakin boleh makan selepas sebulan berpantang. Bagi makanan laut dan telur memang perlu dielakkan sama sekali kerana bersifat gatal dan bisa.

Bagi rempah ratus pula, boleh diambil dengan kadar sangat sedikit seperti lada hitam, halia, dan kunyit. Jika berlebihan, ia mampu memudaratkan bayi yang sedang menyusu ibu. Dalam hari, ibu semestinya mahu menyusui bayinya, maka kuantiti rempah ratus haruslah diambil dalam sukatan sangat sedikit. Contoh: Menu kari sudah boleh dimakan ibu selepas bersalin yang telah berpantang 30 hari, namun masakan kari tersebut perlu lebih cair.

Selain makanan yang saya sebutkan, ada lagi makanan yang telah diproses seperti tauhu, tauhu jepun/telur, tempe dan kicap. Ada sesetengah ibu yang boleh makan, namun ada sesetengahnya pula tidak boleh makan. Hal ini, bergantung juga bagaimana cara ibunya dahulu berpantang. Minuman paling bagus untuk diminum adalah air suam sekurang-kurangnya cukup 3 liter sehari atau lebih. Minum susu dan milo untuk memberi tenaga. Elakkan minum minuman berais, berkarbonat, teh dan kopi.


Relevan berpantang selepas bersalin bukan hanya untuk masyarakat Melayu bahkan bagi masyarakat berbangsa Cina dan India juga. Samada anda orang muda yang moden seawal 20an atau sudah menganjak ke angka 30an, berpantang selepas bersalin perlu diamalkan untuk kesihatan pada masa akan datang. Samada anda perlu melakukannya dengan cara moden atau tradisional, bergantung pada pilihan anda!

Semasa tempoh berpantang ini, para ibu juga digalakkan berurut, memakai stoking, berbengkung rapi untuk mengelakkan angin memasuki badan dan memudaratkan kesihatan ibu bahkan, berpantang turut memberi peluang si ibu menguruskan bayi sepenuhnya, memahami tabiat bayi dan belajar menyusukannya dengan susu badan.


Sekian.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN BERSALIN KALI PERTAMA DI HOSPITAL AMPANG SELANGOR

SEBAB BAYI GIGIT PUTING PAYUDARA

BABY CHECKLIST UNTUK BAKAL IBU