BENGKUNG LILIT JAWA UNTUK WANITA BERPANTANG


Assalamualaikum.

Saya orang jawa, ada darah jawa maknanya keturunan jawa jugalah! Berpantang bagi kebanyakan masyarakat jawa sangat mementingkan disiplin berbanding dengan masyarakat melayu atau masyarakat lain.

Orang jawa kebiasaannya akan berpantang mengikut tradisi ibunya turun-temurun tanpa menolak satu pun kaedah berpantang yang telah diterapkan dalam masyarakat jawa.

Contohnya: Ibu berpantang mesti berurut, bertungku, berbengkung lilit jawa, berbarut, mandi rempah/daun-daun kayu, tidur dengan kaki diikat agar tidak bergerak banyak semasa tidur dan sebagainya (tak dinafikan ada yang berketurunan jawa tetapi tidak mengikuti lagi cara berpantang sebegini).

Semasa saya melahirkan anak sulung dan anak kedua, umi saya begitu menitikberatkan soal pemakanan, penjagaan, kebersihan dan kesihatan.

Berbengkung adalah salah satu tips penjagaan yang amat kritikal untuk orang muda seperti saya yang pada mulanya tidak tahu, menjadi lebih tahu dengan pembelajaran dan pemerhatian semasa dalam pantang.

Sewaktu saya sarat mengandung, perkara pertama yang umi sediakan adalah bengkung dan barut saya. Bengkung yang digunakan adalah dari kain cotton/kapas yang tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.

Pemilihan kain sebegini adalah untuk memudahkan pengaliran udara dan membuatkan pemakainya berasa selesa. Berbanding dengan menggunakan kain belacu yang bersifat lebih panas dan tajam dengan kulit badan.



Pembuatannya, kain cotton/kapas ini dibeli beberapa meter, dipotong dua dan kemudian disambung jahit hingga menjadi 15-20 meter panjangnya. Bengkung yang sudah disiapkan biasanya akan dicuci dan dilipat berlapis-lapis kemudian sedia untuk diguna, ia dinamakan bengkung lilit jawa.

Bagi cara pemakaiannya, ada ikatan khas dan pergerakan yang tersendiri agar seseorang ibu itu mudah memakainya walaupun tanpa bantuan sesiapa.

Pertama kali saya dipakaikan bengkung ini, saya masih belum mahir untuk mengikatnya sendiri. Memakainya dengan keadaan berdiri dan dibantu oleh umi saya menjadikan pemakaian bengkung amat mudah dan mengambil masa yang sangat pendek!

Beberapa manfaat bengkung lilit jawa :

  • Mampu mengembalikan posture/bentuk tubuh badan
  • Mampu memasukkan kembali perut yang kelihatan tertonjol
  • Boleh mengehadkan pengambilan kuantiti makanan ketika berpantang
  • Mampu mengehadkan pergerakan seseorang dari berjalan laju dan mengangkat bebanan yang berat
  • Mampu mengembalikan sistem peranakan ke kedudukan asal
  • Pemakaiannya mampu merangkumi bahagian atas perut sehingga ke bawah punggung

Pemakaian bengkung lilit jawa ini tidak boleh disamakan langsung dengan bengkung lain sedia ada yang berada di pasaran kita kerana dari segi kualiti ia tetap berbeza.

Walaupun pada masa kini terdapat pelbagai jenis bengkung moden yang berlambak di pasaran, bengkung lilit jawa tetap menjadi pilihan saya untuk dipakai ketika dalam pantang. 

Semasa saya memiliki anak kedua setahun selepas mendapat anak sulung, saya sudah mahir untuk berbengkung sendiri dengan bengkung lilit jawa dengan ilmu yang diajar oleh umi saya.

Insha'Allah, saya takkan pernah tinggalkan ilmu berpantang cara jawa kerana ia benar-benar mampu menjadikan saya benar-benar sihat luaran dan dalaman selain mampu mengembalikan bentuk badan sama seperti sebelum saya mengandung.

Sekian.

Ulasan

Unknown berkata…
Setiap kali pergi tandas kena ikat balik ke?
Azieera Tajul Rahim berkata…
Taklah, cuma perlu angkat ke atas saja. Then, bila dh selesai turunkan semula hingga ke bawah punggung. Disebabkan ikatannya yg kejap bila diturunkan semula pun bengkung still dlm keadaan elok. Lagipun tempoh pemakaian bengkung lilit jawa bukan 24jam. Saya pakai pagi sampai jam 6 petang, then lewat petang sampai malam dh start pakai barut saja.

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN BERSALIN KALI PERTAMA DI HOSPITAL AMPANG SELANGOR

SEBAB BAYI GIGIT PUTING PAYUDARA

TEKNIK MARMET ADALAH TEKNIK PERAH SUSU TANPA GAJET