PUNCA MEROYAN SELEPAS BERSALIN
Assalamualaikum.
Ngeri bila dapat berita beberapa hari lepas tentang bayi dua bulan yang dikelar oleh ibunya sendiri. Difahamkan mangsa bukanlah anak sulung, mangsa adalah anak ketiga dan memiliki 2 orang lagi saudara kandung lain. Sedih. Sebagai seorang yang telah bergelar ibu, saya sendiri sedih mengenangkan nasib yang menimpa arwah Nur Areesa Sofea.
Namun, ada segelintir pihak yang menuding jari mengatakan ibu mangsa sengaja membunuh mangsa. Maaf cakaplah... Kalau belum pernah merasai sakit perit dan kesukaran mengandung, bersalin, berpantang dan menguruskan anak kecil, tolonglah jangan bercakap perkara yang boleh menyinggung hati mana-mana pihak.
Kes seperti ini bukan yang pertama kerana beberapa tahun lalu, tragedi yang lebih kurang sama berlaku pada tahun 2012, namun mangsanya adalah ibu yang baru sahaja 10 hari melahirkan anak. Kerana kecewa gagal menyusu badan, ibu tersebut yang berasa tertekan dengan dirinya sendiri lalu terjun dari tingkat 26 pangsapuri rumahnya.
Dalam tempoh seperti ini, ibu yang sedang berpantang sepatutnya mendapat sokongan dari suami dan ibunya mahupun ibu mertua. Paling penting suami jangan sesekali lepas tangan, perlu beri sepenuh perhatian terhadap isteri yang emosinya masih belum stabil. Ambil cuti sekiranya perlu untuk beri sokongan terhadap isteri.
Meroyan atau gila meroyan ini sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu kita apabila seseorang wanita lepas bersalin mengalami gangguan emosi yang ketara hingga menyebabkan masalah psikologi atau penyakit mental. Walaupun ada yang mendakwa bahawa penyakit ini hanya berlaku terhadap wanita biasa, namun pakar perubatan menegaskan bahawa penyakit ini boleh berlaku terhadap golongan wanita profesional juga.
Gejala meroyan dikaitkan terhadap wanita semasa dan selepas berpantang. Ia berlaku terhadap 85 peratus wanita, namun berlaku secara ringan, cepat reda dan tidak perlu dirawat. Bagi segelintir iaitu 10 peratus lagi wanita memerlukan rawatan pakar akibat meroyan yang teruk dan amat mendalam.
Gangguan perasaan selepas berpantang pula terbahagi kepada 3 tahap :
Postpartum Blues-Perubahan Emosi
Masalah gangguan perasaan yang normal dan tidak membahayakan. Berlaku pada hari ketiga hingga kelima dalam tempoh berpantang dan biasanya akan reda pada hari ke 10. Keadaan ini boleh berlaku pada kelahiran pertama atau yang seterusnya, kerana setiap kelahiran bayi adalah berbeza.
Postpartum Depression-Kemurungan
Gejala kemurungan berlaku lebih teruk dan memerlukan rawatan pakar. Biasanya wanita yang mengalami kemurungan boleh membawa bahaya terhadap diri dan juga bayinya. Kemurungan boleh berlaku akibat keguguran, atau kematian bayi di dalam atau diluar kandungan. Keadaan ini boleh terjadi selepas sebulan bersalin dan berlarutan sehingga selepas setahun.
Postpartum Psychosis-Gila Meroyan
Gangguan perasaan atau jiwa paling teruk hingga boleh mengakibatkan kecederaan pada diri sendiri, bayi dan orang di sekelilingnya. Masalah psikosis yang berlaku terhadap wanita selepas bersalin adalah berbeza dengan masalah psikosis yang berlaku dalam masyarakat umum kerana ia melibatkan proses bersalin. Meroyan yang terlalu teruk membuatkan wanita tersebut membenci bayinya, mengatakan bayinya cacat sedangkan tidak, mendapati bayinya membawa sial dan sebagainya. Ada juga wanita yang tidak mahu melihat bayinya sendiri, tidak mahu menjaga dan menyusui bayinya juga. Mereka juga akan mendapat gangguan suara-suara ghaib yang mengejek dirinya, menyuruh membunuh bayinya dan sebagainya.
Melalui beberapa kajian mengatakan, urutan selepas bersalin dan bertungku dapat meredakan emosi wanita dalam berpantang yang kurang stabil. Dengan kaedah urutan dan bertungku, wanita muda boleh meluahkan perasaan dengan berbual dan bercerita sekurang-kurangnya 2 jam semasa berurut dan juga bertungku pada minggu pertama selepas melahirkan bayi.
Buat awak semua yang bakal bergelar ibu atau sudah bergelar ibu, sentiasa bersedia untuk mengalami perubahan persekitaran selepas bersalin. Banyakkan membaca, mencari maklumat tentang penjagaan selepas bersalin dan rujuklah kepada ibu atau ibu mertua atau bidan bersalin tentang rawatan ketika berpantang, minta bantuan orang paling rapat untuk menguruskan kita sepanjang 44 hari semasa berpantang dan minta sokongan suami dalam menguruskan hal-hal semasa proses bersalin dan selepas kelahiran anak nanti.
Satu lagi saya nak pesan agar tidak terlalu berharap sepenuhnya kepada suami yang tidak akan memahami semua keadaan isteri ketika melahirkan, kerana mereka bercuti untuk beberapa hari atau seminggu dan akan sibuk bekerja selepas itu, suami tidak mampu untuk menjaga kita dan anak-anak sepenuhnya kecuali jika mereka bercuti. Kerana itulah jika sudah tiada ibu atau ibu mertua... Minta bantuan ahli keluarga yang lain atau orang yang boleh dipercayai untuk menguruskan makan minum dan berpantang kita selama 44 hari tersebut.
Sepanjang berpantang pula, walau dalam keadaan nifas dan kotor kita masih boleh perbanyakkan istighfar, berzikir, membaca Al-Fatihah, Ayatul Kursi, Surah-surah lazim dan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad. Semoga tiada gangguan makhluk halus dan kita mampu mengawal emosi dari perkara-perkara yang boleh membawa kemudaratan. Wallahua'lam.
Sekian.
Ulasan