SUNAT TAHNIK BAYI PADA HARI KE - 7 KELAHIRANNYA

Assalamualaikum.



Seperti kita sedia maklum, sebaik selesai sahaja kelahiran bayi si bapa perlu mengazankan bayi agar ayat pertama yang didengarinya adalah kalimah Allah. Kemudian, pada hari yang ke-3 disunatkan memberikan nama yang baik-baik untuk anak tersebut. Pada fasa inilah, si bapa sibuknya tidak terkata kerana nak menguruskan uri bayi untuk ditanam, mendaftarkan nama sebaik kelahiran bayi di Jabatan Pendaftaran Negara dan menguruskan isteri untuk mula berpantang.

Namun, ada sesetengah masyarakat kita yang tak pernah tahu tentang sunnah tahnik pada hari ke-7 usia kelahiran bayi, ia dipanggil orang melayu kita sebagai belah mulut bagi bayi yang baru dilahirkan dan sunnah juga mencukur rambut bayi yang baru dilahirkan untukmembuang kekotoran semasa berada di dalam perut ibunya, kemudian ditimbang bersamaan gram emas dan wang itu disedekahkan kepada para fakir miskin atau yang berhak menerimanya.




Gambar anak saudara sebelah suami yang bertahnik dengan abah saya


Maksud Tahnik

Tahnik maksudnya oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani ialah mengunyah sesuatu kemudian meletakkan/memasukkannya ke mulut bayi lalu menggosok-gosokkan ke lelangit mulut. Pada masa kini, ibu bapa bayi biasanya akan memanggil alim ulama ke rumah untuk memberikan bayi manisan seperti kurma, jika tiada kurma boleh menggunakan ruthob (kurma muda), kismis, madu dan sedikit air zamzam untuk dicalit pada lelangit bayi agar merasai kemanisan dari makanan tersebut.

Sebenarnya, ia boleh dilakukan oleh ibubapa bayi itu sendiri atau ke rumah orang-orang yang dianggap soleh untuk ditahnikkan. Pada zaman nabi Muhammad SAW, anak-anak yang lahir telah dibawa kepada Rasulullah SAW untuk ditahnik oleh baginda.  Afdhal melakukan tahnik dengan buah tamar, kerana mengikut amalan Rasulullah SAW kerana buah kurma adalah lembut dan manis.

Dalam satu riwayat hadis, Anas bin Malik menceritakan, aku telah membawa Abdullah bin Abi Talhah ketika beliau dilahirkan kepada Rasulullah SAW ketika baginda memakai jubah (aba’ah) sambil menginaikan untanya.

Lantas baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai buah tamar?” Aku menjawab, “Ya”. Lalu aku menghulurkan beberapa biji buah tamar, dan Rasulullah SAW memasukkan ke dalam mulutnya. Lalu baginda mengunyahnya kemudian membuka mulut baginda dan mengeluarkan semula tamar yang dikunyah dan diletakkan di mulut bayi itu.

Lantaran itu bayi tersebut menggerakkan lidahnya menghisap tamar tersebut. Kemudian baginda menyebut: “Yang disukai orang ansari ialah tamar dan namakannya dengan nama Abdullah”. (HR Muslim 3995, lihat al-NawawiSharhsahih Muslim 7/269).

Tujuan dan hikmah bertahnik

Bertahnik ini adalah untuk melatih bayi menggunakan deria rasa pada lidah ketika bayi menerima susu ibunya dan makan bahkan dapat menguatkannya. (ibnu Hajar, Fath Al-Basr 15/390).

Dalam kajian sains juga ada menunjukkan bahawa deria rasa pada lidah (taste bud) bayi terhadap rasa masam dan manis telah terbentuk sejak dilahirkan. Tujuan Allah SWT menjadikan bayi mempunyai deria rasa pada usia yang awal ialah bagi menggalakkan mereka menikmati susu ibu mereka yang manis. Pemberian manisan di peringkat awal akan merangsangkan lagi deria rasa ini. 

Amalan memberikan manisan (tahnik) kepada bayi yang baru dilahirkan cukup bulan atau pramatang adalah sangat sesuai dan selamat. Hal ini kerana doktor tidak memberikan sebarang ubat penahan sakit kepada bayi yang dicucuk kerana bimbang kesan ubat itu terhadap organ bayi yang masih belum matang.

Lebih tepat lagi, tujuan bertahnik ini juga adalah apabila orang yang melakukannya turut mendoakan keberkahan bagi bayi tersebut, sebagaimana dalam hadis shahih Bukhari (10:707) pada hadis Abu Musa Al-Asy’ari dan Sahih Muslim (3:193) dari hadits Aishah radhiyallahu’anha, ‘ Nabi  SAW mendoakan keberkahan bagi mereka.

Alhamdulillah, kedua-dua anak saya juga dapat di tahnikkan oleh abah saya sendiri kerana saya mengetahui betapa tingginya ilmu agama yang ada padanya. Mungkin buat ibubapa diluar sana, awak semua boleh melakukannya sendiri jika tidak berani kerana mahukan lebih keberkatan, boleh memanggil alim ulama sebagai tetamu untuk mentahnikkan bayi awak semua. Sekurang-kurangnya, kita menghidupkan sunnah Rasulullah SAW disamping dapat memberi kekuatan kepada lidah bayi untuk merasai makanannya serta mendapat doa yang baik-baik untuk kesejahteraan mereka kelak.

Sekian.

Ulasan

Syamimi Saad berkata…
Asslmkm sis.
Mcm sy haritu mak yang buat. Dia ambil cincin belah rotan sy, pstu bbuh madu, diletakkan pd mulut/bbir baby. Tp yng memasukkan ke dlm lelangit tu xde buat.
Azieera Tajul Rahim berkata…
Walaikumsalam, sya mimie Cara tu cuma adat, sebab dlm adat Melayu kita pun ada sebut ttg belah mulut utk bayi. Kalau madu tu masuk ke dlm mulut & baby menghisap nyer, itu dah dikira juga. Cuma, bertahnik ni disertakan dgn doa2 agar baby mendapat keberkatan bila dewasa.

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN BERSALIN KALI PERTAMA DI HOSPITAL AMPANG SELANGOR

SEBAB BAYI GIGIT PUTING PAYUDARA

BABY CHECKLIST UNTUK BAKAL IBU