SUNAT TAHNIK BAYI PADA HARI KE - 7 KELAHIRANNYA
Assalamualaikum.
Seperti kita sedia maklum, sebaik
selesai sahaja kelahiran bayi si bapa perlu mengazankan bayi agar ayat pertama
yang didengarinya adalah kalimah Allah. Kemudian, pada hari yang ke-3
disunatkan memberikan nama yang baik-baik untuk anak tersebut. Pada fasa
inilah, si bapa sibuknya tidak terkata kerana nak menguruskan uri bayi untuk
ditanam, mendaftarkan nama sebaik kelahiran bayi di Jabatan Pendaftaran Negara
dan menguruskan isteri untuk mula berpantang.
Namun, ada sesetengah masyarakat
kita yang tak pernah tahu tentang sunnah tahnik pada hari ke-7 usia kelahiran
bayi, ia dipanggil orang melayu kita sebagai belah mulut bagi bayi yang baru
dilahirkan dan sunnah juga mencukur rambut bayi yang baru dilahirkan untukmembuang
kekotoran semasa berada di dalam perut ibunya, kemudian ditimbang bersamaan
gram emas dan wang itu disedekahkan kepada para fakir miskin atau yang berhak
menerimanya.
Gambar anak saudara sebelah suami yang bertahnik dengan abah saya
Maksud Tahnik
Tahnik maksudnya oleh Ibnu Hajar
Al-Asqalani ialah mengunyah sesuatu kemudian meletakkan/memasukkannya ke mulut
bayi lalu menggosok-gosokkan ke lelangit mulut. Pada masa kini, ibu bapa bayi
biasanya akan memanggil alim ulama ke rumah untuk memberikan bayi manisan
seperti kurma, jika tiada kurma boleh menggunakan ruthob (kurma muda), kismis,
madu dan sedikit air zamzam untuk dicalit pada lelangit bayi agar merasai kemanisan
dari makanan tersebut.
Sebenarnya, ia boleh dilakukan
oleh ibubapa bayi itu sendiri atau ke rumah orang-orang yang dianggap soleh
untuk ditahnikkan. Pada zaman nabi Muhammad SAW, anak-anak yang lahir telah
dibawa kepada Rasulullah SAW untuk ditahnik oleh baginda. Afdhal melakukan tahnik dengan buah tamar,
kerana mengikut amalan Rasulullah SAW kerana buah kurma adalah lembut dan
manis.
Dalam satu riwayat hadis, Anas
bin Malik menceritakan, aku telah membawa Abdullah bin Abi Talhah ketika beliau
dilahirkan kepada Rasulullah SAW ketika baginda memakai jubah (aba’ah) sambil
menginaikan untanya.
Lantas baginda bertanya: “Adakah
kamu mempunyai buah tamar?” Aku menjawab, “Ya”. Lalu aku menghulurkan beberapa
biji buah tamar, dan Rasulullah SAW memasukkan ke dalam mulutnya. Lalu baginda
mengunyahnya kemudian membuka mulut baginda dan mengeluarkan semula tamar yang
dikunyah dan diletakkan di mulut bayi itu.
Lantaran itu bayi tersebut
menggerakkan lidahnya menghisap tamar tersebut. Kemudian baginda menyebut:
“Yang disukai orang ansari ialah tamar dan namakannya dengan nama Abdullah”.
(HR Muslim 3995, lihat al-NawawiSharhsahih Muslim 7/269).
Tujuan dan hikmah bertahnik
Bertahnik ini adalah untuk
melatih bayi menggunakan deria rasa pada lidah ketika bayi menerima susu ibunya
dan makan bahkan dapat menguatkannya. (ibnu Hajar, Fath Al-Basr 15/390).
Dalam kajian sains juga ada
menunjukkan bahawa deria rasa pada lidah (taste bud) bayi terhadap rasa masam
dan manis telah terbentuk sejak dilahirkan. Tujuan Allah SWT menjadikan bayi
mempunyai deria rasa pada usia yang awal ialah bagi menggalakkan mereka
menikmati susu ibu mereka yang manis. Pemberian manisan di peringkat awal akan
merangsangkan lagi deria rasa ini.
Amalan memberikan manisan
(tahnik) kepada bayi yang baru dilahirkan cukup bulan atau pramatang adalah
sangat sesuai dan selamat. Hal ini kerana doktor tidak memberikan sebarang ubat
penahan sakit kepada bayi yang dicucuk kerana bimbang kesan ubat itu terhadap
organ bayi yang masih belum matang.
Lebih tepat lagi, tujuan
bertahnik ini juga adalah apabila orang yang melakukannya turut mendoakan
keberkahan bagi bayi tersebut, sebagaimana dalam hadis shahih Bukhari (10:707)
pada hadis Abu Musa Al-Asy’ari dan Sahih Muslim (3:193) dari hadits Aishah
radhiyallahu’anha, ‘ Nabi SAW mendoakan
keberkahan bagi mereka.
Alhamdulillah, kedua-dua anak
saya juga dapat di tahnikkan oleh abah saya sendiri kerana saya mengetahui
betapa tingginya ilmu agama yang ada padanya. Mungkin buat ibubapa diluar sana,
awak semua boleh melakukannya sendiri jika tidak berani kerana mahukan lebih
keberkatan, boleh memanggil alim ulama sebagai tetamu untuk mentahnikkan bayi
awak semua. Sekurang-kurangnya, kita menghidupkan sunnah Rasulullah SAW
disamping dapat memberi kekuatan kepada lidah bayi untuk merasai makanannya
serta mendapat doa yang baik-baik untuk kesejahteraan mereka kelak.
Sekian.
Ulasan
Mcm sy haritu mak yang buat. Dia ambil cincin belah rotan sy, pstu bbuh madu, diletakkan pd mulut/bbir baby. Tp yng memasukkan ke dlm lelangit tu xde buat.