PENGALAMAN BERSALIN KALI PERTAMA DI HOSPITAL AMPANG SELANGOR
Assalamualaikum.
Bila kandungan pertama saya telah masuk trimester ke-3, saya memang berbincang dengan suami nak bersalin di hospital mana. Antara HKL atau Hospital Ampang kedua-duanya sama dekat cuma kalau ke HKL jalan jem memang tak boleh cakap apa. Kadang-kadang sampai mengucap panjang nak ke sana kalau waktu puncak tu!
Kata putus hubby cakap better kita ke Hospital Ampang lebih selesa di sana. Sebab kakaknya pun 3 orang anak semua bersalin di Hospital Ampang. Kebetulan lagi sebab kawasan rumah kami memang dalam kawasan negeri selangor walaupun alamat poskod Kuala Lumpur.
Saya mula siapkan beg bersalin agak awal, sebab kalau ada hal yang tak diingini berlaku senang sebab saya ke tempat kerja drive sendiri. Beg bersalin pun awal-awal saya dah sumbat dalam bonet kereta sejak usia kandungan 7 Bulan lagi. Ibarat sediakan payung sebelum hujan! Taknaklah nanti menyusahkan suami selalu... sedangkan sejak saya mengandung macam-macam kerenah saya hubby nak kena hadap!
Walaupun jangkaan bersalin pada 22 Februari 2014 @ 28 Februari 2014, tapi pada awal pagi 18 Februari 2014 saya dah rasa tak sedap perut. Memulas-mulas padahal tak rasa nak buang air besar pun, tapi rasa memulas tu kerap. Keluar bilik air tengok umi saya sedang memasak, kebetulan dia memang stay sementara menunggu saya melahirkan anak pertama. Saya beritahu dah ada tanda mukus yang berwarna kelabu kecoklatan padanya dan dia tanya ada rasa sakit-sakit ke? Tak sakit tapi saya cakap perut saya memulas-mulas tak berhenti dari awal pagi.
Umi sarankan kami terus ke hospital untuk daftar samada perlu masuk wad dulu sebab tanda-tanda bersalin dah ada. Masa tu baru pukul 8 pagi. Saya dan hubby dah bersiap nak ke pejabat sebenarnya tapi tak jadi... kami ke Hospital Ampang terus. Semua beg saya dan bakul suami bawa, air selusuh, air zamzam, kurma dan roti. Sepanjang jalan contraction menyerang 5 minit sekali, rasa memulas-mulas tu kuat juga sampaikan saya rasa macam tak tahan nak duduk atas seat kereta.
Sampai di Hospital Ampang keadaan memang sesak sebab waktu puncak orang ramai ke pejabat, saya terpaksa turun sendiri di bahagian kecemasan sementara hubby cari parking di sekitar hospital. Lepas daftar, saya diperiksa dan bukaan telah 2-3cm. Kemudian saya di periksa lagi dan bukaan telah menjadi 4cm.
Doktor terus arahkan agar saya di bawa ke labour room disebabkan ward telah penuh. Saya dan suami tiada pilihan lain dan semasa menunggu contraction saya telah jadi 3 minit sekali. Sakit di bahagian pinggang jangan cakaplah, sampai berpeluh-peluh saya dibuatnya. Hampir sejam menunggu di ruang menunggu bahagian kecemasan bersalin barulah saya dihantar ke labour room. Dibaring kan dan dipasang alat untuk dengar heartbeat baby dalam perut. memang kuat bunyinya bila contraction menyerang sebab baby saya dah mula berusaha untuk keluar. Tapi bila check bukaan saya stuck 5cm hampir 2 jam.
Saya mengadu pada hubby yang saya rasa sakit sangat, bila check pun bukaan cuma 6 cm susah nak buka banyak walaupun baby saya kuat bergerak. Heartbeat baby pun laju juga masa tu. Sementara hubby saya ke surau bersolat zohor, saya kena drip air dan kemudian di induce untuk percepatkan bukaan. Lepas masuk ubat saya betul-betul rasa tak tahan sakitnya Allah saja yang tau. Masa tu air ketuban baru pecah dan keluar membuak buak.
Menangis-nangis saya kat hubby sebab gesaan tu buat saya sakit sangat-sangat, dia tak sampai hati terus call umi dan saya mengadu sakit saya pada umi. Masa tu umi banyak ajar saya ingat Allah, mengucap dan istighfar. Agak kepenatan dan keletihan sebab menangis sambil menahan sakit. Hubby buka penutup air selusuh dan zamzam. Umi suruh disapu pada perut dan muka supaya saya dapat segarkan diri.
Dalam beberapa jam bukaan saya telah 7-8 cm. Nurse tengok saya dah macam tak tahan sangat dia benarkan saya meneran. Nasib Saya baik sebab petang itu nurse yang menyambut kelahiran bayi Saya sangat baik dan memberi semangat untuk saya bersalin normal. Saya disuruh mengawal pernafasan dan meneran dengan keadaan bertenang. Nasib baik nurse baik sebab dia bagi juga saya beberapa teguk air selusuh bila tengok bibir saya kering dan muka saya dah keletihan yang amat sangat.
Akhirnya, jam 6.08 petang saya berjaya lahirkan puteri sulung saya seberat 3.59 kg. Terkejut mendengarnya sebab jangkaan saya baby saya cuma 3 kg saja. Rupanya lebih besar dan patutlah saya rasa agak susah nak keluarkan sampai kebas terasa dari pinggang ke hujung kaki. Nurse bagi saya dakap baby sementara suami iqamat di telinganya.
Selesai saya dijahit, baby dibersihkan saya berehat lama diatas katil bersalin tu sebelum boleh dipindahkan ke katil yang akan dibawa ke wad. Masa berpindah katil saya rasa macam nak pitam sebab terlalu lama berbaring tanpa makan dan minum. Nurse memapah saya untuk bertukar katil dan saya diberikan makan malam sementara baby saya diletakkan di sebelah saya. Menu makan malam sedap tapi saya kurang berselera.
Tepat jam 8.30 malam baru ada katil kosong dan saya diusung ke ward bersalin. Saya minum susu, minum milo, makan roti dan biskut banyak-banyak sebab lapar sangat. Nasi yang umi masak pun saya bedal juga sebab saya langsung nak pitam setiap kali bangun dari katil. Alhamdulillah, nasib baik baby saya baik... dia cuma tidur saja sepanjang malam selepas saya susukan dia. Hampir tengah malam saya bangun dan bersihkan diri mana yang mampu.
Sepanjang malam susah untuk tidur sebab ada juga beberapa bayi yang meragam hingga melalak-lalak, nak dibantu saya juga masih tidak kuat. Sampaikan ibunya tak tahu nak buat apa dan dibantu nurse cara-cara memberikan susu badan. Macam-macam cara sampai terpaksa buat teknik marmet dan diberi minum melalui syringe ubat. Barulah bayinya diam dan barulah saya mampu tidur untuk beberapa jam.
Esoknya, selesai doktor buat rondaan dan check bayi, saya diarah ke bilik lain. sebab katil penuh, ada ibu yang terpaksa tidur di sebelah labour room perlu juga di bawa ke ward. Kami yang sudah berada di kati semalaman terpaksa ke bilik penyusuan. Saya agak tak puas hati sebab lambat dapat kebenaran keluar ward dan lambat urus darah baby yang diambil. Sudahlah jahitan saya banyak dan panjang, hingga saya rasa bisa di tempat jahitan. nak berjalan sudah tak berdaya langsung akhirnya hubby minta pinjam wheelchair. Masa tu umi, mak mertua dan ayah mertua juga ada. Mengadu jugalah sebab terpaksa duduk dibilik yang panas dan tiada katil. Nasib baby cot hospital cukup dan baby saya hanya tidur di situ. Tapi keadaan panas buat baby jadi tak selesa dan kerap merengek minta didukung. Apabila selesai urusan daftar keluar dari wad dan urusan lain semuanya, kami pun pulang ke rumah.
Staff nurse di hospital Ampang memang beri layanan semua baik, cuma disebabkan terlalu ramai yang bersalin pada masa itu, maka terjadi keadaan yang tak diduga. Kami hampir 15 - 20 orang ibu-ibu ni terasa macam pelarian pula sebab disuruh dudak sana disuruh duduk sini dibilik yang tiada aircond dan kipas pula hidup segan mati tak mahu! Apapun inilah pengalaman yang saya tak boleh lupa sepanjang melahirkan puteri sulung Nabihah Insyirah yang sangat comel.
Anda boleh juga baca artikel ini : PENGALAMAN MENGANDUNG ANAK PERTAMA
Anda boleh juga baca artikel ini : PENGALAMAN MENGANDUNG ANAK PERTAMA
Sekian
Ulasan
cover seluruh kawasan kuala lumpur.013-2096836.