PENGALAMAN MENGANDUNG ANAK KEDUA
Assalamualaikum.
Kali ini saya nak berkongsi sikit kisah dan pengalaman saya mengandung anak kedua. Saya dikurniakan cahaya mata kedua ini dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Sebenarnya, saya dapat tahu mengandung kali kedua pada umur anak sulung saya baru 8 bulan. Terlalu awal dan langsung saya dan suami tidak menjangkakan ia secepat ini.
Maklumlah, bila terlepas pandang sesuatu perkara kita takkan perasan rezeki yang datang secara tak sengaja. Berbanding anak pertama, mengandung anak kedua adalah sangat berbeza kerana tiada langsung mabuk atau alahan mengandung yang saya alami kecuali tubuh badan saya mengalami gatal-gatal. Sampai saya terpaksa ke hospital mengambil ubat-ubatan untuk menghilangkan kegatalan.
Saya cuma tahu mengandung pada usia kandungan 18 minggu, itupun selepas saya mengesyaki diri mengandung disebabkan perut yang semakin membuncit. Sebenarnya, setiap bulan saya tetap ada spotting @ tanda sedikit tompokan darah pada tarikh datang haid, maka saya ingatkan itu adalah datang haid seperti biasa. Nasiblah, bila ke KKIA nurse tak marah dan dia minta saya untuk buat scan ke klinik swasta juga untuk mendapatkan due date disebabkan kitaran haid terakhir saya tidak tepat.
Alhamdulillah, bila buat pemeriksaan scan di klinik swasta memang kandungan saya adalah 18 minggu dan doktor telah mengesahkan kandungan saya adalah jantina lelaki! Hingga usia kandungan 5 bulan lebih saya mengalami spotting pada setiap bulan mengandung. Apabila masuk trimester ke-3 barulah spotting tersebut tiada.
Persiapan menyambut kelahiran bayi kedua ni sangat tergesa-gesa , kami suami isteri membeli barangan yang dirasakan perlu sahaja. Sebab barangan kakaknya pun masih baru setahun lepas dibeli. Semasa mengandung anak kedua, saya masih menyusukan anak pertama. Kandungan kedua ini tidak bermasalah, bayi akti dan normal sama seperti kandungan pertama saya dahulu, namun hemoglobin saya sentiasa berada kurang dari tahap normal. Hingga saya terpaksa kerap ke KKIA untuk ambil darah dan melakukan pemeriksaan lainnya.
Bayi kedua saya dijangka lahir pada 4 April 2015 tetapi saya dapat rasakan bayi akan keluar penghujung bulan Mac kerana tarikh bulanan datang haid saya adalah penghujung bulan. Setelah 3 hari turun darah, pada 27 Mac 2015 Hari Jumaat, saya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Ampang.
Kelahiran paling mudah kerana saya tidak perlu di induce atau di suntik epidural. Saya mampu melahirkan bayi secara kaedah normal dan alami dengan 2 kali push sahaja. Bayi saya agak kecil berbanding kakaknya dahulu iaitu 3.14 kg sahaja. Walau bagaimanapun, saya sangat bersyukur kerana kelahiran bayi kedua ini adalah pada pagi waktu subuh yang hening dan hanya saya seorang yang menyambut kelahiran bayi pada awal pagi itu. Labour room telah kosong dan keadaan wad juga tidak sesak. Alhamdulillah.
Sekian.
Ulasan